Saturday, 14 November 2015

INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA LUAR BANDAR



SENARIO INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA LUAR BANDAR DI MALAYSIA

1.0           PENGENALAN

Negara Malaysia kini sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Pada tahun 2014, penduduk Malaysia kini berjumlah 30,097,900 orang. Pecahan mengikut kumpulan etnik terdiri daripada Melayu seramai 15,239,300 orang, etnik kedua iaitu Cina seramai 6,601,000 orang, India pula seramai 1,995,000 manakala kaum Bumiputera seramai 18,846,500 orang, Bumiputera lain 3,607,200 orang dan Lain-lain seramai 260,000 orang. (Jabatan Penerangan Malaysia, n.d.)
Hasil daripada kepelbagaian etnik dan kaum ini, pekerjaan yang dilakukan untuk mencari rezeki juga ada perbezaannya. Penduduk di bandar melakukan pekerjaan dimana dapat menjana pendapatan yang lumayan seperti bekerja dalam sektor koporat dan banyak kilang-kilang besar dibina manakala penduduk luar bandar hanya melakukan pekerja yang biasa sahaja seperti menjadi petani, peladang, penternak dan berniaga secara kecil – kecilan sahaja.
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana di kawasan luar bandar kurang memberangsangkan berbanding dengan industri-industri di bandar. Hal ini di sebabkan masyarakat luar bandar kurang diberikan pendedahan dan tidak ambil peduli perkembangan semasa yang di berikan oleh pihak kerajaan. Pengusaha lebih cenderung menguruskan perniagaan secara tradisional dan hanya perlu mengeluarkan modal yang sedikit. Mereka juga enggan untuk mengambil risiko yang besar dalam perniagaan dan selesa berada di tampuk lama .
Kebanyakan pengusaha IKS Luar Bandar menggunakan peralatan yang kurang canggih dan tradisional dalam urusan memproses produk keluaran mereka. Ini menyebabkan mereka akan mengambil masa yang agak lama untuk produk tersebut di pasarkan dan ia juga memberi kesan di mana industri IKS Luar Bandar tidak berkembang seiring dengan IKS Bandar.


2.0               DEFINISI INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) boleh didefinisikan mengikut aspek-aspek tertentu sesuatu jenis perniagaan seperti nilai output, jumlah kerja yang diupah, saiz aset tetap, modal, jualan dan sebagainya bergantung kepada cara mereka menggunakan saiz piawai dan kriteria yang berbeza sebagai pengukuran dan pentaksiran IKS. Modal berbayar bagi IKS adalah kurang dari RM 500 000 dan memiliki tenaga kerja tetap diantara 5 orang hingga 50 orang.  Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura telah mendefinisikan IKS sebagai sebuah syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 30% melebihi S$8 juta (bagi sektor pengeluaran) dan mempunyai bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 50 orang pekerja (bagi sektor industri perniagaan atau perkhidmatan). Bagi negara kita, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. (Jabatan Penerangan Malaysia, n.d.).
Selain itu, IKS juga merupakan pendokong industri besar dengan mengeluarkan barangan sokongan yang tidak dapat dikeluarkan oleh industri besar yang lain seperti barangan sektor pembuatan makanan. Disamping itu, IKS Luar Bandar hanya diselia oleh organisasi yang mudah iaitu kebanyakan diasas oleh keluarga dan pekerja diambil dalam kalangan ahli keluarga terdekat atau penduduk setempat yang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap. Hal ini dapat membantu mereka meringankan beban yang ditanggung dalam menyara ahli keluarga.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mempunyai peranan yang sangat besar dalam membantu asas perkembangan industri negara. Ia adalah untuk mengelak daripada pergantungan sensitiviti ekonomi global. Dalam kita menjana ekonomi negara, IKS boleh dikatakan sebagai nadi serta enjin pelaburan domestik dan ia perlu dimajukan secara bersepadu dan menyeluruh terutama dalam perhubungan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Peranan dan sumbangan IKS ini menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020. Satu pelan perusahaan atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi tempoh 2010 hingga 2020 akan dirangka dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada Model Ekonomi Baru (MEB).


  TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA LUAR BANDAR
Pada masa kini, tahap pembangunan IKS berada pada tahap yang agak memberangsangkan. Hal ini disebabkan oleh sokongan yang diberikan oleh kerajaan dalam membantu golongan pengusaha IKS luar bandar supaya lebih berdaya saing dan produktif dalam meningkatkan lagi produk mereka seterusnya menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Program latihan dan pembangunan diberikan kepada usahawan-usahawan IKS oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) yang merupakan agensi kerajaan bertanggungjawab menyelaras pembangunan IKS. Sebelum ini, pengusaha IKS luar bandar tidak mempunyai kemahiran dalam pengendalian mesin yang lebih canggih kerana pengusaha hanya menggunakan peralatan tradisional dalam pemprosessan produk mereka. Hasil daripada program latihan yang diberikan oleh SMIDEC, pengusaha kini telah menukar peralatan pemprosessan kepada peralatan moden dengan menggunakan mesin yang lebih canggih dan dapat menjimatkan masa pembuatannya. Sebagai contoh, pengusaha bahulu kini telah menggunakan mesin pemutar tepung (mixer) dan juga pembakar kuih (oven) yang lebih besar dan moden kerana dapat menghasilkan bahulu dalam kuantiti yang banyak serta menjimatkan masa penghasilannya.
Selain itu, pengusaha IKS kini lebih berdaya saing dalam mengusahakan perniagaan hasil daripada Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) yang diberikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Program Latihan Keusahawanan.  Program-program yang disediakan oleh MARA telah memberikan impak kepada pengusaha supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan perniagaan mereka. Produk IKS yang sebelum ini tidak mempunyai label dan pembungkusan produk kurang menarik telah di tambah baik dengan menggantikan cara pembungkusan produk yang cantik dan kreatif supaya dapat menarik perhatian pengguna untuk membelinya.

4.0        KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN IKS LUAR BANDAR TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

Dasawarsa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’. Antara contoh IKS ialah kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan, kedai menjual makanan tradisional  dan lain-lain lagi. 
 Kepentingan IKS Luar Bandar diantaranya ialah membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Pengusaha IKS memerlukan ramai tenaga kerja bagi menjana dan meningkatkan hasil pengeluaran produk mereka sesuai dengan permintaan pengguna. Contoh yang dapat kita lihat ialah kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka dan memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Sekiranya kurang tenaga kerja, maka pengusaha akan mengalami kesulitan dan masalah apabila produk mereka gagal disiapkan seperti yang telah dirancang. Bagi meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini dapat membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Atas sikap keprihatinan pengusaha IKS ini mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, maka akan mewujudkan perasaan kekitaan seperti peribahasa Melayu mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Hal ini jelaslah bahawa IKS bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran.
Selain itu, IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Seperti kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Lazimnya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil  pertanian, perikanan atau perhutanan. Kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Jadi secara tidak langsung aktiviti pertanian dan  perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Akhirnya secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin  meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS boleh dikatakan sebagai serampang dua mata kerana  kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan  rakyat di negara kita.
IKS juga dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Seantero dunia mengetahui bahawa negara Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum dan kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli  kraf tangan untuk dibawa pulang. Antara barangan kraf tangan yang popular ialah tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan ini melambangkan identiti serta jati diri negara. Pelancong yang datang ke negara kita akan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk  membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah  kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia  akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

Sebagai contoh  Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini.  Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
            

5.0          HALANGAN / CABARAN IKS LUAR BANDAR

Pengusaha IKS Luar Bandar mempunyai halangan utama untuk berkembang dan mampu bersaing dengan usahawan berjaya yang lain ialah kekurangan modal perniagaan. Sebanyak 35 peratus usahawan merasakan bahawa mereka amat sukar untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan, manakala lebih separuh usahawan (55.4%) mengatakan mereka kurang menghadapi masalah memohon bantuan kerajaan. Sebanyak 68.7 peratus usahawan berjaya mendapatkan bantuan daripada institusi bank. Antara masalah utama mendapatkan bantuan kerajaan ialah pengusaha tidak memahami prosedur permohonan dengan tepat, tidak mengetahui kelayakan peruntukan dan karenah birokrasi permohonan bantuan kerajaan. Masalah berkaitan dengan permohonan pinjaman bank pula ialah pengusaha mesti mempunyai rekod perniagaan yang baik serta terpaksa menyediakan cagaran untuk mendapatkan bantuan sedangkan pengusaha IKS Luar Bandar hanya berniaga kecil-kecilan sahaja pada peringkat permulaan.
Selain itu, teknik promosi produk IKS kurang berkesan. Pengusaha IKS hanya menggunakan teknik yang paling kurang memberikan sumbangan terhadap nilai jualan dan bersifat konvensional iaitu teknik dari mulut ke mulut dalam hubungan perniagaan paling banyak digunakan. Hal ini mengakibatkan ruang hebahan terbatas akan menyukarkan usaha untuk memasarkan produk ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka keberatan untuk mengeluarkan modal dalam usaha memperkenalkan produk mereka melalui media elektronik, internet dan media cetak kerana memerlukan pengetahuan dalam bidang ICT dan modal yang agak tinggi. Keadaan ini menjadikan IKS Luar Bandar kurang diketahui umum produk keluarannya.
Antara halangan lain dalam IKS ialah kekurangan tenaga buruh mahir. Pekerja IKS hanya mengikuti latihan daripada mereka yang mempunyai taraf pendidikan formal yang rendah atau tidak mempunyai pendidikan formal langsung. Pengusaha memikirkan bahawa kos untuk mewujudkan latihan kepada pekerja adalah tinggi bagi pengusaha kecil seperti mereka. Kos latihan bukan sahaja melibatkan kos untuk menghantar pekerja untuk mendapatkan latihan malah melibatkan kos melepas iaitu kejatuhan keluaran output disebabkan ketidakhadiran pekerja. Ini berlaku jika tiada pengganti untuk menggantikan pekerja yang diberikan latihan itu.


6.0            SISTEM SOKONGAN IKS LUAR BANDAR

Dalam usaha memantapkan Industri Kecil dan Sederhana Luar Bandar, pihak kerajaan dan institusi –institusi kewangan di Malaysia telah mengambil inisiatif dengan mengemukakan skim-skim sokongan yang dapat membangunkan lagi sektor perniagaan kecil ini.
Antara inisiatif yang disediakan ialah kemudahan pembiayaan kewangan untuk modal tetap dan modal pusingan perniagaan oleh institusi-institusi kewangan dan agensi serta badan kerajaan tertentu sahaja. Pengusaha IKS dapat membuat pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dibawah kawalan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. TEKUN Nasional ini banyak memainkan peranan dalm pembangunan keusahawanan dan memberikan perkhidmatan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil. Selain itu, Bank Negara juga telah menubuhkan Unit Khas Enterprise Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk menperolehi pembiayaan.
Disamping itu, kerajaan juga turut menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan melalui agensi Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Majlis Amanah Raya (MARA) dan juga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kopersi (MECD). Program latihan keusahawanan yang diberikan dapat meningkatkan lagi kecekapan dan memberi nilai tambah kepada pengusaha memajukan lagi perniagaan mereka.


7.0           LANGKAH – LANGKAH MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN IKS LUAR BANDAR

Dalam usaha membangunkan IKS Luar Bandar, pengusaha itu sendiri perlu berubah sikap dan sanggup menanggung risiko. Pengusaha perlu mempunyai motivasi yang kuat dan berani dalam melakukan perubahan sekiranya ingin Berjaya dalm bidang perniagaan. Jalinan sikap bekerjasama antara pengusaha IKS juga perlu wujud terutama pengusaha bumiputera. Sebagai contoh, sekiranya kos untuk memasarkan produk di pasar raya adalah tinggi, pengusaha boleh bergabung dengan pengusaha yang lain untuk menggunakan satu jenama dengan sistem pengbungkusan yang berkualiti dan dapat diterima oleh pasar raya.
Pengusaha IKS Luar Bandar perlu memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi yang terdapat di negara kita bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan seterusnya membawa kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti IKS itu sendiri. Penggunaan peralatan mesin yang canggih membolehkan IKS meningkatkan kualiti produk dan jumlah pengeluaran dari sebelumnya. Peningkatan kos taraf hidup dan pengeluaran, semestinya penggunaan mesin amat relevan kerana kita tidak perlu menggaji ramai pekerja seterusnya meminimumkan kadar bayaran gaji pekerja. Selain itu, penggunaan mesin juga dapat menjimatkan masa kerana sesuatu proses pengeluaran dapat berlaku dengan cepat kerana mesin yang moden dan canggih mampu menghasilkan jumlah pengeluaran produk dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh masa yang singkat. Sebagai contoh, mesin pemotong pisang atau ubi yang boleh memotong pisang atau ubi dengan lebih efektif berbanding menggunakan tenaga manusia. Kualiti produk dan perkhidmatan sentiasa terkawal dan berada dalam keadaan yang baik kerana mesin tidak kenal erti jemu dan penat dalam menghasilkan produk berbanding tenaga manusia yang boleh menjejaskan kualiti dan prestasi perniagaan.
Kerajaan turut memainkan peranan yang sangat penting untuk membangunkan lagi IKS Luar Bandar dengan menyediakan infrastruktur atau kemudahan bagi menyokong pertubuhan industri ini. Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ialah kilang dan bengkel, penyediaan subsidi tanah, subsidi mesin dan subsidi pengangkutan dan sebagainya. Kemudahan ini bertujuan untuk memberikan keselesaan, kemudahan serta menjadi perangsang kepada IKS untuk meningkatkan produktiviti organisasi.  Antara contoh yang dapat diberikan ialah penyediaan tanah oleh kerajaan, pengusaha boleh memanfaatkan kemudahan tersebut untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan atau sebagai tempat untuk menghasilkan bahan mentah keluaran sendiri. Ini dapat mengurangkan kos kerana tidak perlu mengeluarkan dana untuk membayar sewa dan kos bahan mentah.
Disamping itu, pengusaha IKS harus memanfaatkan sepenuhnya penggunaan internet dalam perniagaan mereka kerana dengan menggunakan internet sebagai medium perniagaan, mereka mampu meluaskan pasaran ke seantero dunia dalam masa yang sama dapat mengurangkan kos promosi dan pengiklanan. Kemampuan internet yang melangkaui batas-batas sempadan politik dan geografi tanpa sebarang halangan dalam masa yang singkat dapat menyumbang kepada kejayaan IKS sekiranya dapat menggunakan dengan sebaiknya. Banyak kebaikan penggunaan internet kepada pengguna, organisasi dan masyarakat kerana dengan pelaburan yang rendah, pengusaha IKS dapat mempromosikan produk keluaran mereka kepada pengguna seluruh dunia serta mereka juga boleh berhubung dengan pelanggan dengan lebih dekat lagi tanpa perlu bersemuka dengan pelanggan. Laman sosial yang semakin rancak digunakan seperti facebook,myspace, skype dan sebagainya boleh digunakan untuk tujuan mempromosikan produk keluaran IKS dimana dapat menarik lebih ramai pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan yang lama tanpa mengambil kira faktor umur.

8.0           KESIMPULAN

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kini semakin mendapat perhatian masyarakat umum dan dunia. Ini kerana IKS kini menjadi kepada pemangkin ekonomi negara yang kini sedang menuju ke arah Wawasan 2020. Pengusaha IKS perlu siap siaga dalam menghadapi persaingan dalam pasaran. Dalam bersaing di peringkat global, penggunaan teknologi yang bersesuaian dan ketersediaan sistem maklumat bersepadu juga penting bagi menjamin kelancaran perniagaan. Kebanyakan pengusaha IKS dahulu tidak berkembang selari dengan perkembangan teknologi yang hanya menggunakan sistem konvensional atau tradisional. Ini memberi kesan kepada kos pemilikan keseluruhan akan meningkat dan secara langsung mengurangkan jumlah keuntungan firma.
Pengusaha IKS harus beranikan diri melangkah keluar dari kedudukan sekarang agar dapat meningkatkan lagi ekonomi serta perniagaan yang sedang diusahakan. Mereka juga harus bijak menggunakan peluang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan serta pandai membuat keputusan dalam membangunkan perniagaan mereka. Hanya pengusaha yang berani menyahut cabaran dalam menongkah arus globalisasi kini yang akan berjaya dalam perniagaan mereka seterusnya menempah nama di peringkat yang lebih tinggi.